15 June 2017

Beza Sedekah Dan Zakat

Masih konpius antara sedekah dan zakat? Ada terbaca dua tiga komen di fb seseorang pasal minta sumbangan untuk rumah anak yatim, sorang brader ni komen "gua dah bayar zakat banyak, kira sedekah juga". Fuhhh bahaya kalau orang Islam taktau beza antara sedekah dan zakat ni tau. Meh nak kongsi info sket:

SEDEKAH

Sedekah ditafsirkan sebagai pemberian yang padanya dicari pahala daripada Allah Taala. Rujuk al-Ta`rifat (1/132). Manakala Ibn Manzur memberikan definisi sedekah sebagai apa yang engkau berikan kerana Allah kepada golongan fakir, yakni yang memerlukan. 


Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadaNya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya Aku dapat bersedekah dan dapat pula Aku menjadi dari orang-orang yang soleh “. (Al-Munafiquun: 10) 

Secara ringkas, Sedekah itu adalah 

· Satu amal jariah yang hukumnya sunat. 
· Bukan rukun Islam tetapi amat digalakkan. 
· Tidak mempunyai kadar atau masa yang tertentu. 
· Tidak mempunyai penerima yang tertentu. 

Sedekah tak semestinya dengan harta dan wang ringgit. 

Dalil sedekah tidak semestinya dengan harta adalah hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis (senyuman) dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya". (Riwayat Ahmad) 

Kekadang kita dengar orang kata, aku tak mampu, macam mana nak bersedekah kan? Sebenarnya orang tak tahu banyak cara nak bersedekah, bukan dengan duit kita je. Senyum pun satu sedekah. Tapi bila berjumpa dengan orang yang kita tak kenal, muka kelat kemain lagi, kekwat. Pastu bila masanya nak sedekah? 


ZAKAT 

Pengertian zakat menurut Kamus Dewan ialah rukun Islam yang keempat yang mewajibkan seseorang Islam mengeluarkan sebahagian daripada hartanya kepada orang yang berhak menerimanya seperti fakir miskin, mengikut syarat-syarat yang ditentukan. 

Perkataan zakat atau al-zakah (الزكاة) dalam bahasa Arab mengandungi pelbagai maksud. Zakat bermaksud suci, rahmat, berkembang, subur, pintar, bertambah, baik, damai dan terpuji. Tetapi makna yang sering digunakan bagi perkataan ini lebih merujuk kepada pengeluaran sejumlah harta tertentu. 

Makna zakat secara etimologi pula ialah sepertimana firman Allah yang bermaksud: 

Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Surah At-Taubah 9:103) 




Zakat itu adalah 

· Hukumnya wajib. 
· Rukun Islam yang ketiga dan sebagai ibadah dari segi harta. 
· Mempunyai kadar yang tertentu (nisab) dan masa untuk dikeluarkan (haul). 
· Mempunyai penerima yang tertentu, iaitu 8 asnaf (penerima) Zakat. 

Syarat-syarat zakat 

1. Muslim 

Kerana zakat merupakan salah satu rukun Islam maka tidak diwajibkan kepada orang kafir. 

2. Merdeka 

Zakat tidak diwajibkan kepada budak dan hamba kerana hartanya adalah milik tuannya maka tuannyalah yang menunaikan zakatnya. 

3. Dewasa (baligh) 

Zakat hanya diwajibkan kepada orang dewasa, bukan kepada kanak-kanak yang belum baligh. Tetapi jika kanak-kanak itu memiliki harta yang sudah sampai nisab dan satu tahun maka walinya atau orang yang menguruskannya wajib untuk mengeluarkan zakat dengan diniatkan untuk mereka. 


Pembahagian Zakat 

Zakat terbahagi kepada dua bahagian iaitu zakat harta benda dan zakat fitrah. 

Firman Allah yang bermaksud: 

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk. (Surah Al-Baqarah 2: 43) 

Ada 2 jenis zakat iaitu: 

1. Zakat Fitrah 

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. 

2. Zakat Harta 

Jenis-jenis harta yang dikenakan zakat adalah seperti berikut: 

Zakat Pendapatan 
Zakat Perniagaan 
Zakat Binatang Ternakan 
Zakat Pertanian 
Zakat Wang Simpanan 
Zakat Emas dan Perak 
Zakat Saham 
Zakat Ma’adin, Kunuz dan Rikaz 

Kunuz 

Ialah harta yang tersimpan di dalam bumi (harta karun). 

Rikaz 

Ialah harta benda yang tersimpan di dalam bumi dan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ia tersimpan sebelum kedatangan Islam. (Jumhur ulama mengatakan semua jenis simpanan jahiliah). 

Kalau tak sure cemana nak kira jumlah yang perlu dibayar, boleh ke pejabat zakat negeri atau kalau nak bayar online, boleh kira guna kalkulator ni https://www.zakat2u.com.my/kalkulator/zakat-pendapatan

Zaman sekarang ni nak bayar apa pun boleh secara online. Jadi takda sebab kita tak bayar apa yang sepatutnya kan. Kat dunia ni takda siapa yang tahu kalau kita lupa bayar, tapi di akhirat kelak, apa nak jawab dengan Yang Maha Berkuasa? 


No comments:

Post a Comment