26 May 2019

7 Tips Urus Duit Bisnes Kecil


Tips ini hanyalah untuk anda yang baru mula berniaga atau sedang dalam perancangan untuk memulakan perniagaan pertama. Jika anda telah lama dalam bidang ini, sila dapatkan nasihat dari penasihat kewangan yang bertauliah ya.



1. Buka Akaun Syarikat

Orang bisnes wajib mengasingkan duit peribadi dan duit perniagaan. Walaupun anda bermula dengan berniaga kecil-kecilan, adalah lebih baik jika anda membuka akaun bank syarikat anda. Biarpun kos membuka akaun syarikat lebih mahal dari akaun peribadi, namun ia akan memudahkan anda untuk menguruskan kewangan syarikat kelak. Duit hasil perniagaan mestilah dimasukkan ke akaun tersebut, termasuklah urusan pembelian.

2. Catit dan Simpan Rekod Setiap Transaksi

Jika anda belum mempunyai sistem perakaunan (online), anda boleh mencatit semua transaksi pendapatan dan perbelanjaan menggunakan Microsoft Excel.  Rekod manual menggunakan buku juga boleh digunapakai. Namun, sebaik-baiknya rekod yang ada di buku harian anda dapat disimpan secara elektronik bagi tujuan perakaunan. Jika tidak, bagaimana untuk anda mengetahui untung rugi syarikat.

Penyata bank yang diterima secara bulanan perlu disimpan dengan baik. Melalui penyata ini anda boleh melihat kemampuan kewangan syarikat anda. Sekiranya anda ingin memohon pinjaman perniagaan kelak, penyata ini akan menjadi dokumen pertama yang akan disemak untuk menentukan sama ada syarikat layak ataupun tidak.

Penyata bank juga boleh diperolehi secara online dari sistem perbankan. Anda hanya perlu membuat permohonan (sekali sahaja) di bank. Selepas itu anda boleh akses maklumat akaun hanya menggunakan komputer, laptop atau telefon bimbit anda.

3. Rekod Belian dan Jualan

Kos belian adalah duit yang anda guna untuk membeli bahan atau barangan yang akan kita jual. Manakala duit jualan adalah duit yang anda terima daripada pelanggan. Rekodkan semua kos dengan lengkap dan simpan semua resit. Jika pembekal tidak mengeluarkan resit, tulis resit sendiri. Namun, setiap rekod mestilah mempunyai maklumat TARIKH, NAMA BARANG, NAMA PEMBELI, HARGA, DISKAUN (jika ada), KUANTITI.

Duit yang diterima hasil dari jualan perlu dimasukkan ke dalam akaun bank setiap hari atau sekerap yang boleh. Anda juga boleh meminta pembeli untuk membuat pembayaran terus ke akaun bank syarikat bagi memudahkan rekod.

4. Rekod Perbelanjaan

Kos perbelanjaan adalah duit yang digunakan untuk perbelanjaan lain SELAIN dari kos belian. Contohnya, kos pengangkutan, penghantaran, pembungkusan, percetakan, bil utiliti, sewa kedai, gaji pekerja, kos pemasaran, dan sebagainya.

NOTA:

Bagi bisnes kecil, cuba kurangkan penggunaan buku cek kerana pihak bank telah mengenakan caj tambahan bagi penggunaan tersebut. Proses untuk clear cek  juga mengambil masa. Cara yang lebih cepat dan mudah adalah melalui online banking. Rekod setiap transaksi lebih mudah dikesan pada bila-bila masa kita perlukan.

5. Duit Petty Cash

Duit petty cash atau duit tunai adalah duit yang dikeluarkan dari bank dan disimpan untuk tujuan kecemasan atau perkara-perkara yang memerlukan tunai segera. Namun, pemilik bisnes harus menetapkan jumlahnya untuk kegunaan dalam tempoh sebulan. Jumlah tersebut mestilah bersesuaian dengan operasi syarikat. Biasanya, ia dalam lingkungan RM100-RM1000.

6. Rekodkan Penggunaan Wang Peribadi Untuk Modal

Kebanyakan peniaga kecil memulakan perniagaan dengan menggunakan duit simpanan sendiri. Itu adalah perkara biasa kan. Namun begitu, ia haruslah direkod dengan tepat supaya anda tahu berapa banyak modal yang telah dikeluarkan untuk bisnes. Apabila ada keuntungan kelak, anda boleh mengambil semula wang ini dengan cara yang betul.

7. Rekodkan Penggunaan Wang Syarikat Untuk Peribadi

Pernah dengar orang sebut kegiatan ini sebagai rompak duit syarikat? Ya, inilah kebiasaan yang dilakukan oleh peniaga kecil. Saya pun buat macam ni satu ketika dulu.

It’s okay. Boleh juga macam tu. Cuma amalan ini dianggap ‘tidak sihat’ untuk kewangan syarikat. Walau macam mana pun, ia harus direkodkan dengan betul. Kegiatan ini dikira sebagai kita berhutang dengan syarikat. Maka, kita harus pulangkan semula jumlah tersebut dengan cara membayar sekaligus atau membuat potongan setiap bulan dari pendapatan yang kita terima dari syarikat.

.

Jadi selepas ini bolehlah anda simpan rekod perniagaan dengan betul ya. Lebih baik mulakan semuanya dengan betul ketika bisnes kita masih kecil. Ia akan lebih memudahkan bisnes kita untuk berkembang dengan cepat dan teratur. Percayalah.


Wan Fazlina binti Wan Fhuad,
masih dalam proses membetulkan apa yang salah.

No comments:

Post a Comment